‘Aku Bukan TOMBOY… Aku Bukan TOMBOY…’
begitu jeritan Farisa atau Eisha si gadis Tomboy. Rupa-rupanya ia sekadar lamunan Farisa yang mengimpikan penampilan sebagai gadis ayu dan jelita yang memukau seluruh mata yang memandang.
Kisah bermula dengan rentetan kehidupan Farisa yang kehilangan kasih ibu sejak kecil, hanya bapa kandung yang menjadi pelindung tatkala dia mengharungi warna kehidupan sebagai seorang gadis penghantar pizza yang agresif, kasar dan samasekali bercanggahan dengan sikap gadis normal yang kaya dengan sifat lemah lembut. Di sebalik keagresifan Farisa terselindung naluri semulajadi gadis sejati yang menginginkan kehidupan yang biasa dijalani oleh mana-mana gadis sebayanya. Maka, takdir menentukan bahawa tanpa dirancang Farisa juga berhak untuk menikmati alam percintaan.
Plot bermula di mana Farisa tidak menyangka yang dia akan tersepit dalam cinta tiga segi. Kemunculan Harry, seorang ‘salesman’ yang ‘happy go lucky’, setaraf dengan Farisa sebenarnya menyimpan perasaan cinta dan sayang terhadap Farisa. Malangnya Harry seakan kurang mahir untuk mengekspresikan perasaan cintanya terhadap Farisa.
Dalam masa yang sama muncul pula seorang lagi jejaka, Burn berbeza darjat dengan Farisa. Burn seorang yang romantic dan dilahirkan dalam keluarga berada serta berjawatan sebagai ‘junior executive’ di syarikat bapanya. Pandangan pertama Burn terhadap Farisa yang ketika itu sedang menghantar pizza telah melonjakkan minatnya untuk merapati Farisa seterusnya nekad untuk memahkotakan Farisa sebagai permaisuri hidupnya.
Percintaan tiga segi Farisa bersama Harry dan Burn sebenarnya menghimpit ruang fikiran Farisa yang tidak menyangka alam percintaan sebenarnya menuntut seribu satu macam pengorbanan demi mencapainya. Di antara kebaikan Harry dan keikhlasan Burn sememangnya amat mencabar kewibawaan Farisa dalam menentukan hala tuju dan matlamat hidupnya sebagai gadis tomboy yang kekal sebagai gadis sejati yang normal.
Di samping mengharungi lamunan percintaan dengan Harry dan Burn, Farisa turut tidak terlepas dari kecaman dan gangguan golongan ‘pengkid’ seperti Bell dan Sam. Farisa rupa-rupanya menjadi rebutan kepada Bell dan Sam yang mahu menjalinkan hubungan intim dengannya seperti pasangan bercinta. Farisa bosan dan rimas kerana dia berulang kali menegaskan bahawa dia bukan TOMBOY dan enggan terjebak dengan hubungan songsang dengan ‘pengkid’.
Persoalannya adakah terlalu sukar buat si gadis TOMBOY untuk merasai kehidupan sebagai gadis normal yang bencikan hipokrasi demi memiliki cinta sejati?
Sememangnya terlalu besar pengorbanan yang dituntut dalam dilema percintaan tiga segi Farisa. ‘Aku Bukan TOMBOY’ sebuah filem bergenre komedi romantik bakal menjawab segalanya…
SAMA-SAMA KITA NANTIKAN DI PAWAGAN
17 NOVEMBER 2011 NANTI!!!!
Post a Comment